Alhamdulillah kupanjangkan rasa syukur kerna ada pihak benar2 tulus dalam issue ini semoga kita semua sentiasa dlm peliharaaNYA serta penjagaanNYA yg ESA...
Tahniah dan syaabas kepada kumpulan penyelidikan yayasan As Sofa kerna mengambil langkah menyedarkan rakyat yang terlepas pandang akan issue yg dianggap remeh serta tidak penting,
Oleh PANEL PENYELIDIKAN
YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
SEMINGGU dua ini, negara
amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan
kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil
untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini.
Terutama apabila ada juga
tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan
mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian
Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.
Apabila menimbangkan boleh
atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita
mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar
atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu.
Dalam ruang yang terbatas
ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang
mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.
Di dalam al-Quran sendiri
terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang
menyalah-gunakan nama Allah.
Allah SWT berfirman yang
maksud-Nya: Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan
bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau
mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya? (Maryam: 65)
Ayat ini ditafsirkan oleh
para ulama dengan beberapa tafsiran:
lDi dalam kitab Tafsir
Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud:
Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada
perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah
atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi. Ayat istifham (soalan)
ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu
tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam
ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila
ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah
dan dikhususkan baginya.
lPendapat kedua mengatakan
maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang dinamakan dengan Allah selain
Allah. Atau, nama yang lain dari nama yang Allah sendiri namakan bagi diri-Nya.
lPendapat ketiga mengatakan
maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang layak dengan kesempurnaan
nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah.
lPendapat keempat
mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui nama yang lebih agung daripada nama
yang unggul ini. Atau, nama-Nya diterbitkan dari sesuatu seperti nama-nama
makhluk-Nya.
Sesungguhnya Allah itu
tiada satu pun yang menyerupai-Nya. Ia adalah nama yang hanya menunjukkan
kepada Zat Tuhan yang tertegak pada-Nya sifat-sifat.
Sama seperti isim alam yang
lain yang menunjukkan kepada apa yang dinamakan tanpa diambil daripada
mana-mana nama. Ia adalah nama yang diungguli oleh Allah, yang dikhususkan bagi
diri-Nya dan disifatkan bagi Zat-Nya.
Ia didahulukan dari
nama-nama-Nya yang lain dan nama-nama-Nya yang lain bersandar kepada nama ini
dan semua nama yang datang selepasnya adalah sifat bagi-Nya dan bersangkutan
dengannya.
Nama-nama Allah
Nama-nama Allah SWT yang
lain disifatkan sebagai nama-nama Allah SWT yang lain dan kebiasaannya hanya
dikenali dengan disandarkan kepadanya (Allah).
Oleh itu disebut, ia adalah
nama-nama Allah dan tidak disebut ia adalah nama-nama al Sabur, al
Ghafur, al Jabbar dan sebagainya.
Demikian juga keIslaman
seseorang itu tidak akan sempurna melainkan dengan menyebut nama yang satu ini.
Ia tidak menerima sebarang gantian dan tidak disebut nama gantiannya yang lain.
Misalnya dengan mengucapkan
dalam syahadah dengan kalimah, "Tiada Tuhan melainkan al Ghaffar,
atau al Rahim atau al Jabbar dan sebagainya.
Hanya yang digunakan dan
disebut adalah, "Tiada Tuhan melainkan Allah". Inilah juga yang
disebut oleh al-Quran dan hadis kerana ia adalah nama yang paling menunjukkan
kepada hakikat makna Ilahiyyah dan dikhususkan baginya.
Ia juga adalah nama yang
tidak memerlukan kepada nama-nama yang lain untuk diperkenalkan tetapi
nama-nama yang lain itu dikenali dengan disandarkan kepadanya.
Perkataan Allah itu sudah
mencukupi bagi pertuturan dan zikir (sebutan) tanpa perlu disifatkan dan di takhalluq
(disifatkan manusia dengan sifat-Nya).
Allah telah menegaskan di
dalam Kitabnya yang mulia: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang
mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu,
dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan
nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah
kerjakan. (al-A'raaf: 180)
Berdasarkan ayat di atas,
terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:
Berkata Mujahid: Mulhid
ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka
sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.
Berkata Ibnu Abbas makna
(Yulhidun) ialah mendustai.
Berkata Qatadah: Maknanya
mensyirikkan Allah.
Berkata al Khattabi: Salah
dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid.
(Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)
Maksud ayat ini, Allah Yang
Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan
seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia
nama-Nya.
Merujuk kepada ayat-ayat di
atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah
itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan
sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.
Pelbagai hujah lain yang
mendokong larangan penggunaan kalimah Allah ini datangnya dari pelbagai sudut
termasuk bahasa, falsafah dan seumpamanya.
Oleh kerana kesuntukan
ruang, kami mengesyorkan dua tulisan yang memuatkan hujah-hujah ini secara
lebih panjang.
Ia boleh didapati dengan
mudah di Internet iaitu makalah bertajuk 'Antara Nama dan Hakikat' oleh Md.
Asham Ahmad serta makalah 'Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah oleh
Kristian' oleh Mohd. Aizam Mas'od.
'Bermain'
'Bermain' hujah dan dalil
berkaitan isu ini sebenarnya bukanlah urusan orang awam dan mereka yang bukan
berkeahlian.
Oleh itu kita harus
bersyukur kerana sebenarnya sudah ada suatu keputusan Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan dalam isu ini yang bertarikh 7 Mei 2008.
Keputusan fatwa ini jelas
mengkhususkan penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam. Kami dimaklumkan
bahawa hanya empat negeri sahaja yang belum mewartakan keputusan fatwa ini
sebagai fatwa rasmi negeri.
Perlu juga diingat bahawa
terdapat beberapa keputusan Kabinet mengenai larangan yang sama.
Dari segi undang-undang
perlembagaan dan sivil pula, Perkara 11(4) telah membolehkan negeri-negeri di
Malaysia meluluskan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama di kalangan orang Islam.
Undang-undang yang telah
diluluskan di 10 negeri ini jelas melarang penggunaan kalimah Allah dan
beberapa kalimah lain oleh agama selain Islam.
Kita tidak menafikan bahawa
mungkin masih ada perbezaan pandangan di kalangan segelintir para ulama dan
ilmuwan Islam tentang hal ini.
Namun bukankah hujah-hujah
yang melarangnya seperti yang sebahagiannya kami nukilkan di sini menuntut kita
lebih berhati-hati dan berwaspada dalam isu ini?
Apatah lagi jika diinsafi
bahawa kita sekarang bukannya membicarakan isu-isu cabangan dalam agama yang
lebih rendah kedudukannya.
Isu yang kita bahaskan ini
melibatkan adab kita dengan Allah Rabbul Jalil.
Jika kita tidak
berhati-hati kita boleh tergelincir hingga berlaku kurang beradab dan hormat
kepada Allah, Tuhan sekelian alam.
Rasulullah SAW ada berpesan
dalam suatu hadis yang dianggap antara hadis-hadis induk dalam Islam bahawa, Perkara
yang Halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara
kedua-duanya ada perkara-perkara yang Syubhah yang tidak diketahui hakikatnya
oleh kebanyakan manusia. Dan sesiapa yang menjauhi perkara Syubhah maka dia
telah benar-benar menjaga kesucian agamanya dan maruahnya. Seumpama pengembala
yang membawa ternaknya ke sempadan kawasan larangan. Sangat dibimbangi akan
termasuk ke dalamnya. (riwayat Imam Bukhari dan selainnya serta termasuk
dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi)
Lalu kita ingin tanyakan,
bukankah dalam isu ini yang melibatkan hak dan adab dengan Allah SWT kita
lebih-lebih wajar menjauhi batas-batas syubhat kalaupun ada di kalangan kita
tidak meyakini pengharamannya secara pasti?
Berasaskan semangat ini dan
berbekalkan fatwa, undang-undang dan keputusan yang sedia ada marilah kita
sekalian umat Islam di Malaysia mempersatukan saf dalam mengambil pendirian
dalam hal ini.
Maslahah ummah amat jelas
memerlukan sikap ini sedangkan maslahah untuk membenarkan penggunaan kalimah
Allah bagi agama yang lain dalam konteks Malaysia sangatlah kabur dan rapuh.
Umat Islam yang cintakan
kesepaduan dan kekuatan ummah seharusnya mengenepikan perbezaan pandangan yang
terlalu akademik dalam isu ini dan mengutamakan perkiraan maslahah ini.
Semoga Allah SWT membuka
jalan penyelesaian dan keselamatan bagi kita semua dalam menghadapi persoalan
ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Credit kepada utusan Malaysia....
No comments:
Post a Comment
Would lurve to hear your thoughts on this.Thanks!