Alhamdulilah hari ini kita semua telah pun memasuki hari ke 11 Ramadhan...Bulan yg penuh barakah ini tidak lama lg akan meninggalkan kita....Terasa masa berlalu terlalu pantas.
Disini saya kongsikan kepada kita perlu memuliakan Sayyidatuna Khadijah....kenapa kita perlu ambil berat dan memberi tahu anak2 kecil kita betapa hebat nya Sayyidatuna Khadijah...Mari kita hayati nya pada bulan yg mulia ini...tambah2 lagi hari ini adalah tarikh kewafatannya.
Daripada Anas bin Malik r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
“Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir’aun.”
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim)
Pesanan daripada Rasulullah s.a.w ini sebenarnya telah menjawab persoalan kepada pencarian kita siapakah wanita Islam yang boleh dijadikan contoh di dalam segenap aspek kehidupan terutamanya di waktu akhir zaman ini. Sedar atau tidak masyarakat kita terutamanya para wanita Islam dan generasi muda wanita Islam masih mencari idola selain daripada mereka dengan alasan idola yang masih hidup dan berada di depan mata lebih senang dicontohi dan diikuti. Kalaupun ada yang cuba mencontohi tokoh-tokoh wanita Islam terbilang ini, keterbatasan untuk menggali seberapa banyak khazanah tauladan kehidupan mereka menjadi asbab mengapa cita-cita untuk meneladani tokoh wanita Islam tersebut tidak tercapai.
Barangkali penulisan ini tidak mampu untuk menceritakan secara khusus berkenaan dengan kesemua tokoh wanita Islam terbilang tetapi ianya sebagai satu permulaan untuk mengajak para pembaca terutamanya generasi muda untuk sama-sama menjadikan mereka sebagai panutan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.
Mengenali Wanita Ummul Mukminun
Siapakah di antara kita yang tidak kenal dengan Sayyidah Khadijah Bt Khuwailid, isteri pertama dan isteri yang paling disayangi dan dikasihi oleh insan yang paling mulia di sisi Allah SWT, Rasulullah s.a.w. Wanita yang digelar sebagai Ummul Mukminun yang beerti Ibu kepada seluruh orang mukmin. Penulisan ini tidak bercadang untuk menulis semula sejarah hidupnya tetapi ingin menggali sedalam-dalamnya siapa itu wanita ini yang satu-satunya mendapat ‘salam’ daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s.
Penulisan ini menjadi penting kerana Sayyidah Khadijah Al Kubra r.a. telah wafat pada 11 Ramadhan iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah. Mengingati hari kewafatan Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a (Haul) merupakan salah satu cara untuk kita menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada beliau. Sesungguhnya mengingati wanita Ummul Mukminin ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Aku direzekikan oleh Allah SWT untuk mencintai dan menyayangi Khadijah. Sesungguhnya aku sangat kasih dan cinta kepada orang yang mengasihi dan mencintai Khadijah.”
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Cintailah Allah kerana Dia memberi ni’mat kepadamu, cintailah aku kerana Allah dan cintailah ahli keluargaku kerana cintamu kepadaku.”
(Riwayat At Tarmizi)
Barangkali timbul persoalan di dalam benak hati kita. Bagaimana mahu mencintai dan mengasihi Ummul Mukminin ini sedangkan darah yang mengalir pada jasad Khadijah r.a. tidak mengalir di jasad kita? Bagaimana mahu mencintai beliau kerana sedari waktu kita tidak pernah untuk mengambil tahu tentang sejarah hidup dan sumbangan beliau di dalam sejarah penting Islam. Tidak melampau jika dikatakan bahawa kita hampir merasa tidak ada kepentingan buat kita untuk mengenali apatah lagi menyintai beliau.
Sekiranya persoalan-persoalan seperti ini telah ada di dalam hati kita, ini bermakna kita sebenarnya masih gagal untuk memupuk rasa cinta dan kasih kita kepada insan yang paling agung dan mulia serta paling sempurna di sisi Allah SWT iaitu Muhammad s.a.w.
Untuk mengasihi dan mencintai Sayyidah Khadijah r.a, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk membaca biografi beliau, membaca dan menggali apa sumbangan beliau sehingga mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT dan apakah sumbangan beliau kepada kita. Kita harus mencari kekuatan dan kesempurnaan Sayyidah Khadijah r.a malah berusaha menjadi wanita yang berjiwa besar seperti Sayyidah Khadijah Al Kubra!
Benar, jika kita mencintai dan menyayangi seseorang, kita akan berusaha untuk memenuhi keinginan kita untuk mengenali latar belakang orang tersebut sebanyak yang mungkin. Kita berusaha seboleh-bolehnya ingin mengetahui apa yang dilakukannya setiap saat dan ketika. Apa yang mendorong kita untuk mengenalinya kalau tidak kerana cinta dan kasih kita!
Sayyidah Khadijah r.a bukan hanya berperanan sebagai seorang isteri malah seorang sahabiah kepada Rasulullah s.a.w di mana beliau telah mendapat tempat yang khusus di sisi Allah SWT. Namanya terpahat di hati Nabi s.a.w. Apakah keistimewaan yang diraih oleh Sayyidah Khadijah r.a dan disandang olehnya sebelum menjadi dan selepas menjadi isteri kepada baginda s.a.w? Terdapat empat gelaran yang disandang oleh Sayyidah Khadijah r.a. Dua gelaran yang disandangnya sebelum menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w dan dua lagi disandangya setelah menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w.
1. At Tohirah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan seorang yang suci dan yang menjaga maruahnya dan kehormatannya. Zaman jahiliah pada ketika itu tidak ada nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dalam masyarakat kecuali sedikit sahaja dan penzinaan bermaharajalela ketika itu. Beliau sangat suci dan menjaga maruah serta berbeza dengan wanita di zamannya, tidak mudah bergaul dengan mana-mana lelaki manapun malah para lelaki sangat menghormatinya. Belia mempunyai budi pekerti luhur beserta akhlak yang mulia.
Beliau kerap mendatangi Waraqah Ibn Naufal dan mendapatkan banyak cerita-cerita tentang Bani Israil dan agama Nasrani. Malah beliau telah mengetahui khabar tentang adanya kenabian di akhir zaman dan menjadi harapan kepadanya untuk menunggu kedatangan nabi tersebut. Beliau juga sering bertanya dengan Waraqah Ibn Naufal tentang Allah dan tentang kekuasaan Allah SWT.
Walaupun beliau seorang yang hartawan dan berjaya dalam perniagaan, tetapi hatinya mencari-cari tentang agama yang benar yang diturunkan kepada Nabi akhir zaman. Aqidah beliau terjaga dan beliau tidak pernah menyembah berhala. Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a merupakan wanita yang suci zahir dan batin, luar dan dalam dan sentiasa mencari Nur yang diyakini akan sampai.
Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a sebenarnya telah menunjukkan tauladan untuk kita wanita Islam zaman kini. Tatkala masyarakat kita hari ini dalam kebingungan dengan isu pembuangan bayi. Bagi tempoh 2008 hingga 2009 sahaja sebanyak 181 kes pembuangan bayi telah dilaporkan manakala bagi tahun 2010 telah pun mencatat sebanyak 60 kes. Bukankah ini di antara ciri-ciri masyarakat zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam? Benar, faktor penzinaan yang berlaku dalam masyarakat kita yang kini seolah-olah telah diterima sebagai nilai dalam hidup merupakan punca kepada pembuangan bayi. Punca kepada berlakunya penzinaan adalah kedangkalan dan kebebalan dalam memahami asas kepada pegangan hidup iaitu agama Islam.
Sayyidah Khadijah At Tohirah sebenarnya telah memberikan contoh yang hebat di mana beliau seorang yang sangat menjaga diri dan kehormatannya walaupun pada ketika itu gelombang penzinaan bermaharalela dalam masyarakat Arab Jahiliah. Beliau berpegang kepada apa yang telah disampaikan oleh Waraqah Ibn Naufal kepadanya. Sungguhpun beliau seorang yang hartawan dan memiliki kekayaan yang banyak, tetapi beliau tidak pernah lalai dan leka dengan kemewahan tersebut. Justeru, bukankah Sayyidah Khadijah At Tohirah telah menunjukkan kepada kita jalan yang sebetulnya?
2. Sayyidah An Nisa i Quraisy
Sayyidah Khadijah r.a. juga dikenali sebagai Penghulu kepada kaum wanita Quraisy yang paling termulia dikalangan wanita Quraisy yang mulia yang masih berpegang kepada nilai-nilai murni. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah menghampakan sesiapa yang mengetuk pintu rumahnya untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada beliau. Sungguh beliau tidak pernah mengecewakan!. Sifat pemurah Khadijah menenangkan sesiapa yang memerlukan bantuan. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah lokek dengan kesenangan dan kekayaan yang dimiliki sehingga ianya dapat dirasai oleh masyarakat yang hidup bersama-samanya. Justeru, bukankah Sayyidah An Nisai Quraisy telah menunjukkan tauladan yang terbaik buat kita?
3. Ummul Mukminin
Sayyidah khadijah r.a menyandang gelaran Ummul Mukminin iaitu Ibu kepada seluruh kaum mukminin selepas beliau menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w. Keterkaitan Sayyidah Khadijah r.a dengan Rasulullah s.a.w telah mengubah kedudukan dan kemuliaan beliau. Beliau adalah insan pertama yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad s.a.w merupakan dan Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Sayyidah Khadijah r.a sentiasa menjadi penyokong dan pembantu kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah yang menyebabkan ketenangan jiwa Rasulullah ketika berkhalwat di Gua Hira’? Siapakah yang tidak pernah putus asa menyokong dan membantu Nabi s.a.w? Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah bertanya apatah lagi menghalang Nabi s.a.w untuk beribadah sebulan lamanya di Gua Hira yang penuh dengan binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Sayyidah Khadijah r.a memanjat Jabal Nur ke Gua Hira yang jauhnya tiga batu demi untuk menghantar makanan kepada Nabi s.a.w. sehingga Sayyidah khadijah r.a menerima ‘salam’ daripada Allah SWT malah Malaikat Jibril a.s turut sama menyampaikan ‘salam’ kepada Sayyidah Khadijah r.a. Kecerdikan dan kepintaran Sayyidah Khadijah r.a terserlah apabila beliau menjawab ‘salam’ daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s dengan lafaz “ Allah yang Maha Salam, Allah yang daripadaNya datangnya ‘salam’. ‘Salam’ datang daripada Allah SWT, untuk Jibrail pun aku sampaikan ‘salam’ dan kepadamu juga ya Rasulullah s.a.w aku sampaikan ‘salam’.
Sayyidah Khadijah r.a telah menyerahkan segala harta dan kekayaan miliknya kepada Rasulullah s.a.w dan ianya merupakan modal pertama di dalam penyebaran dakwah Islamiah. Justeru, disebabkan kerana pengorbanan Sayyidah Khadijah r.a inilah maka agama Islam sampai kepada kita hari ini. Sayyidah Khadijah r.a adalah perantara kita dengan Allah SWT. Tidakkah kita masih tidak mahu mengenang walau sedikitpun Sayyidah Khadijah r.a dalam hidup kita?
Apabila berlakunya peristiwa Kaum Kafir Quraisy membuat resolusi dalam parlimen mereka untuk memutuskan hubungan mereka dengan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib, Sayyidah Khadijah r.a tidak termasuk dalam kalangan kedua-dua Bani tersebut. Tetapi Sayyidah Khadijah r.a tidak mahu meninggalkan suami tercinta, maka beliau masuk ke dalam perkampungan Bani Hashim dan Bani Abdul mutallib. Pada ketika itu Sayyidah Khadijah r.a berusia 60 tahun. Walaupun usianya sudah lanjut, tetapi beliau sanggup berada di samping suami dalam kepungan Kaum Kafir Quraisy. Bekalan makanan dan bantuan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutallib disekat dan tidak dibenarkan sesiapapun berurusan dengan mereka. Oleh kerana tiada bekalan makanan, mereka hanya makan rumput rampai, daun-daun sehingga pecah-pecah mulut mereka demi untuk meneruskan kehidupan.
Adakalannya saudara mara Sayyidah Khadijah r.a menusup masuk membawa makanan seperti gandum untuk diberikan kepada Sayyidah Khadijah r.a. Namun kemuliaan dan ketulusan hati Sayyidah Khadijah r.a tiada bandingan. Beliau tidak makan seorang diri malah dikongsikan bersama-sama dengan yang lain sehingga diriwayatkan bahawa yang paling mendapat sedikit makanan itu adalah Sayyidah Khadijah r.a! Sayyidah Khadijah r.a boleh sahaja membuat pilihan untuk berehat di rumahnya bersama dengan pembantu-pembantunya tetapi kerana kecintaan dan kasihnya kepada suami tercinta, beliau tidak pernah walau sesaat berenggang dengan Nabi s.a.w.
Selama tiga tahun mereka berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy dan apabila resolusi tersebut dimakan oleh anai-anai, maka berakhirnya kepungan itu. Sayyidah Khadijah r.a sudah tidak bermaya dan lemah ketika keluar dari tempat kepungan tersebut. Sayyidah khadijah r.a telah kepenatan menemani Rasulullah s.a.w. Akhirnya wafatlah Syahidatul Sya’ iaitu wanita yang mati syahid kerana kepungan kaum kafir Quraisy. Pemergiaannya benar-benar telah menyedihkan Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum mukminin. Beliau bukan sekadar menyerahkan segala hartanya tetapi jiwa, raga dan jasadnya diserahkan kepada Islam!
4. Saiyidatul Nisa’ Ahlul Jannah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan penghulu kepada kaum wanita di syurga. Beliau bukan sahaja seorang wanita yang solehah tetapi lebih daripada itu. Wanita yang disebut oleh Allah SWT telah mendapat keselamatan dan keamanan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Satu-satunya wanita yang mendapat salam dari Allah SWT dan sudah terjamin mendapat nikmat syurga.
Apabila Sayyidah Fatimah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w ; Di manakah ibuku? Rasulullah s.a.w bersabda; “Bahawasanya ibumu berada di dalam sebuah rumah di dalam syurga di mana rumah itu tiada penat dan hiruk pikuk di dalamnya. Rumah itu dibina dari permata luluk dan zamrud.”
Kenapa tidak ada penat? Kenapa tidak ada hiruk pikuk di dalamnya? Ini kerana Allah SWT telah menggantikan kepenatan dan keletihan Sayyidah Khadijah r.a di dunia ketika menemani Rasulullah s.a.w sejak dari ketika Nabi s.a.w menerima wahyu sehingga Nabi s.a.w berada di dalam kepungan kaum Kafir Quraisy.
5. Sayyidah Khadijah r.a : Madrasah dan Universiti Terbaik Tiada Tolok Bandingannya.
Di rumah Sayyidah Khadijah r.a telah lahirnya pahlawan dan panglima Islam yang hebat. Pentarbiyyah dan pendidikan di rumah beliau sangat luar biasa dan merupakan sebuah madarasah dan universiti yang tiada tolok bandingannya. Tiada yang mampu menjadi sehebat Sayyidah Khadijah r.a. Berkat asuhan dan didikan Sayyidah Khadijah r.a , maka lahirnya generasi Islam yang hebat seperti Saidina Ali Karamallah Wajha. Saidina Ali Karamallahu Wajha ini diambil oleh Rasulullah s.a.w daripada bapa saudaranya Abu Talib sebagai mengenang jasa Abu Talib yang menjaganya semasa kecil. Bagitu juga dengan Zaid Bin Haritsah, Zubair Bin Awwam dan beberapa lagi nama-nama pahlawan Islam yang hebat yang lahir dari didikan Sayyidah Khadijah r.a. Ibu Mithali yang tiada tolok bandingannya.
Cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a
Rasulullah s.a.w tidak pernah memarahi Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w sentiasa menyebut nama dan segala kebaikan Sayyidah Khadijah r.a. Rasulullah s.a.w tidak pernah tidak menyebut nama Sayyidah Khadijah r.a sebelum keluar daripada rumah baginda s.a.w sehingga telah timbul kecemburuan di hati Saidatina Aisya r.a.
Berkata Saidatina Aisyah r.a ; “Mengapakah nama Khadijah itu sentiasa dibibirmu sedangkan beliau telah tiada dan Allah telah menggantikan yang lebih baik untukmu ya Rasulullah?”
Rasulullah berasa begitu marah apabila mendengar persoalan itu lalu baginda s.a.w bersabda;
”Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak ada orang lain yang membantuku. Dan, Allah SWT juga menganugerahkan aku anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak memberikan aku anak”.
(Riwayat At Tabrani)
Rasulullah s.a.w sentiasa memberikan hadiah kepada saudara mara dan sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a. Apabila Rasulullah s.a.w menyembelih kambing, baginda s.a.w tidak pernah lupa untuk memberikan beberapa bahagian untuk sahabat-sahabat Sayyidah Khadijah r.a Betapa cinta dan kasihnya Rasulullah s.a.w kepada Sayyidah Khadijah r.a. Walaupun Sayyidah Khadijah r.a telah meninggalkan Rasulullah s.a.w tetapi baginda s.a.w tetap sentiasa menjaga hubungan baginda s.a.w dengan saudara mara dan sahabat Sayyidah Khadijah r.a
Untuk kita bagaimana pula? Sudahkah ada cinta dan kasih sayang kita pada Sayyidah Khadijah r.a.
Fahami dan Hayatilah Perjuangan Sayyidah khadijah r.a
Penulisan ini sebenarnya tidak layak dan tidak mampu untuk menggambarkan siapa sebenarnya insan yang mendapat tempat teristimewa di hati Rasulullah s.a.w. Namun, dalam usaha untuk mengenali,mencintai dan mentauladani suri hati Rasulullah s.a.w ini, hati tekad untuk menulis sedikit tentang Sayyidah Khadijah r.a dengan harapan dapatlah diri menagih cinta dan kasih sayang Rasulullah s.a.w apatah lagi syafaat baginda s.a.w yang di dambakan.
Fahamilah perjuangan Sayyidah Khadijah r.a!
Credit to http://shamsiahmahli.com
Posted by
lina
at
9:35 AM