This blog is dedicated to my lovely daughter Alia and lil baby Darwisy. Thanks to those who has read my blog
RSS

!

Mixed feelings....

There is here are go with my mixed signals and my over thinking....Allah....Hu Allah... 

PERTEMUAN DATO' HAJI MUHAMMAD FUAD BIN KAMALUDIN DENGAN PROFESOR REX SEAN O'FAHEY, BEKAS KETUA JABATAN ARKEOLOGI, KETAMADUNAN, PERADABAN DAN PENGAJIAN AGAMA UNIVERSITI BERGEN

Hari: Jumaat
Tarikh: 07.07.2018
Tempat: Bergen, Norway
 
​Kami telah berjumpa dengan Profesor O'fahey di flat kediaman beliau yang terletak di pusat Bergen, rumah sederhana yang berada di ruang bawah tanah sebuah bangunan 4 tingkat yang diperbuat daripada besi.

​Beliau menyambut kedatangan kami dengan senyuman dan sambutan yang menerima, terkejut dan gembira dengan tujuan ziarah kami. Kami telah menelefon beliau sejurus selepas pertemuan bersama Profesor Knut tempoh hari. Kedengaran dari perbualan telefon beliau begitu riang dan gembira yang kemudiannya kami mengetahui bahawasanya beliau baru sahaja sembuh daripada penyakit kanser hari sebelumnya. Beliau menyuruh kami untuk datang segera dan Dato' Haji Muhammad Fuad tidak ingin menunggu lama, kami terus menelefon teksi dan bergegas ke rumahnya.

​Setibanya kami di rumah Profesor, seseorang pasti boleh mengandaikan beliau adalah seorang lelaki yang punyai ilmu pengetahuan. Beliau tinggal bersendirian dikelilingi oleh buku-bukunya. Terdapat dua perkara yang menarik perhatian kami, pertama al Quran yang beliau letakkan di bahagian rak yang paling tinggi berbanding buku-buku yang lain, dan kitab al Muwatta' karangan Imam Malik. Seseorang pasti boleh mengetahui beliau boleh membaca dalam Bahasa Arab dengan melihat kepada keadaan kitab tersebut yang selalu digunakan.
​Setelah kami duduk, kami menyatakan hasrat serta tujuan kedatangan untuk berjumpa beliau. Kami mengeluarkan buku tulisan beliau "Enigmatic Saint", kelihatan beliau mengukirkan senyuman setelah kami menyampaikan buku tersebut kepadanya, dalam keadaan beliau bersemangat untuk berkongsi hasil kajian seumur hidupnya. Kami bertanya kepada beliau faktor utama yang mendorong kepada penulisan mengenai Sayyid Ahmad ibn Idris. Beliau menjawab dengan jelasnya, "Pada asalnya, saya secara tidak sengaja mengkaji tentang Ahmad ibn Idris kerana pelajar di bawah seliaan saya pada ketika itu, iaitu Profesor Knut sedang melakukan kajian berkenaan Muhammad ibn Ali Sanusi. Kemudiannya saya dapat mengetahui lebih lanjut lagi mengenai tokoh ini (Sayyid Ahmad ibn Idris) dan sejarahnya. Maka saya beranggapan adalah sesuai untuk saya melakukan tesis berkenaan guru beliau (Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi), sebagaimana saya merupakan guru kepada Profesor Knut." Beliau kemudiannya menambah mengapa Sayyid Ahmad ibn Idris menjadi pilihan kajiannya dengan katanya; "dan disebabkan sesuai dan relevan untuk tokoh ini ditonjolkan pada era dan zaman ini." Hal ini sangat benar berdasarkan keperibadian dan kriteria yang dimiliki oleh Sayyid Ahmad ibn Idris. "Beliau memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh cendiakawan dan Sufi lain pada zamannya." Kata O'Fahey sambil membelek-belek buku tulisannya tersebut.
​Kami semua memandang wajahnya dalam keadaan penuh perhatian mengenai komentar beliau tentang perkara tersebut lantas meminta daripadanya supaya menjelaskan apa yang beliau maksudkan dengannya. Katanya, "Ia disebabkan satu perkara, beliau (Sayyid Ahmad ibn Idris) sama sekali tidak bersetuju dengan pembunuhan umat Islam, berbeza dengan golongan Wahhabi pada zaman tersebut. Selain itu, beliau juga menggalakkan serta menyokong sistem pendidikan bagi golongan wanita…" Kami sangat terperanjat, bagaimana seorang lelaki berbangsa Irish, menetap di Bergen, sangat jauh daripada mana-mana tamadun Islam, apatah lagi daripada madrasah mahupun kemudahan pendidikan; mengetahui secara mendalam akan isu sosial-keagamaan-politik Islam pada kurun ke 19 dan 20 khususnya yang berlaku di Maghribi.

​ Kami meneruskan perbincangan mengenai Sayyid Ahmad ibn Idris, bagaimana beliau merupakan seorang tokoh yang sangat penting sehinggalah O'Fahey berhenti dan menyebut, "Satu perkara yang benar-benar menyukarkan saya, pada awalnya saya mengkaji beliau disebabkan kebetulan, setelah itu saya menyedari bahawa para ulama' kurang minat serta perihatin terhadap keperibadian Ahmad ibn Idris. Beliau merupakan seorang tokoh yang sangat penting dalam sejarah Islam, saya agak terkejut kerana belum ada seorang pun yang menulis berkenaannya." Kenyataan ini benar-benar bertepatan dengan pandangan Dato' Syeikh Muhammad Fuad. Apakah niat beliau menulis mengenainya, apakah yang akan beliau perolehi? Beliau bukan menulisnya untuk akhirat, bukan juga kerana kemegahan atau keuntungan, kenapa? Kamu boleh menegaskan beliau menulisnya disebabkan perasaan cintanya yang mendalam terhadap Ahmad Idris. Walaupun setelah 30 tahun sejak buku tersebut diterbitkan, beliau boleh menyebut segala sumber rujukan dalam bukunya dengan mudah.

​O'Fahey kemudiannya bercerita tentang Ahmad ibn Idris dan hubungannya dengan Wahhabi. "Beliau mengajar di Makkah tatkala mana Ibnu Saud menguasainya, dan mereka tidak berani langsung mengganggu keberadaan beliau sewaktu di sana." Jelas O'Fahey sangat kagum dengan keperibadian Ahmad Idris. "Apa yang anda  lakukan sepanjang kajian mengenainya? Ke mana ia membawa kamu?" Kami bertaya kepada beliau. "Saya berkelana ke Zawiyyah Zainiyyah di Mesir sehingga ke Maisur (Maghribi), tempat kelahiran beliau. Saya juga berkesempatan ke Sudan dan berjumpa sendiri dengan Syeikh Tarekat Idrisiyyah di sana." Sambil dengan bangga menunjukkan kami sebuah gambar yang tergantung kemas di dinding rumahnya, gambar Syeikh tarekat pada ketika itu iaitu Sayyid Muhammad al Hassan yang dihadiahkan sendiri olehnya. Ternyata O'Fahey tidak mampu untuk menyembunyikan emosi dan perasaannya terhadap Ahmad ibn Idris, kisah mengenai permusafiran dan pengorbanan beliau untuk memperolehi maklumat yang tersimpan disisinya pada hari ini sudah cukup membuktikan perkara tersebut.
​Kami kemudiannya difahamkan beliau menghabiskan masa selama 6 tahun untuk menghimpunkan segala maklumat bagi penyelidikan yang beliau jalankan, akan tetapi hanya memerlukan selama 3 bulan untuk menulisnya. Ia kemudiannya diterbitkan dengan judul "Enigmatic Saint Ahmad Ibn Idris and the Idrisi Tradition." "Buku itu menulis dengan sendirinya" kata beliau, yang menunjukkan secara jelas bagaimana dalamnya beliau telah menyelam di dalam lautan Ahmad ibn Idris. Kalau boleh untuk saya ungkapkan, beliau seorang yang fanatik terhadapnya!
Setelah itu, beliau meneruskan perkongsiannya berkenaan usaha lain dan apa yang telah beliau lakukan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan berkaitan Ahmad Idris. Beliau mewujudkan satu pasukan khas yang mengkaji secara khusus berkaitan Ahmad ibn Idris, di antara yang terlibat ialah Profesor Knut dan sebilangan daripada rakan-rakan serta bekas pelajarnya. Selain itu, beliau akan menyampaikan syarahan mingguan di Universiti Bergen yang menyentuh secara khusus mengenai Ahmad ibn Idris. O'Fahey juga turut menyampaikan syarahan berkaitan Ahmad ibn Idris di Singapura, Sudan dan Maghribi. Bayangkan bagaimana seorang yang berasal dari Norway menyampaikan syarahan kepada orang-orang yang berada di Maghribi berkenaan dengan seorang wali sedangkan tokoh tersebut sendiri berasal dari Maghribi! Ia merupakan suatu kenyataan yang sukar untuk diterima, bagaimana mungkin ilmu dan pengetahuan mengenai seorang tokoh yang begitu hebat tiada di sisi mereka.
​Sesiapa pun pasti boleh mengandaikan bahawa Profesor O'Fahey merupakan seorang yang berbangga dengan kajian yang telah beliau hasilkan berdasarkan sumber dan rujukan yang beliau simpan rapi dan kemas di kawasan khusus miliknya. "Saya memiliki manuskrip tulisan tangan yang ditulis pada hayat Ahmad ibn Idris", ujarnya dengan nada yang kita turut merasakan kepuasan yang beliau telah kecapi. Meskipun usianya  sudah lanjut, beliau boleh bercerita tentang Sayyid Ahmad ibn Idris dengan bersemangat sekali. Suara beliau yang jelas dan lantang benar-benar menampakkan kesungguhannya terhadap Sayyid Ahmad ibn Idris seolah-olah beliau masih lagi muda remaja. Kami bertanyakan kepada beliau jika di rumahnya tersimpan apa-apa rujukan mengenai Ahmad ibn Idris, lantas beliau bangun dan mengeluarkan sebuah buku daripada raknya tanpa ragu-ragu seolah-olah beliau mengingati dengan tepatnya kedudukan buku yang dikehendaki tersebut. Ia merupakan buku "The Letters of Ahmad ibn Idris" yang telah diterjemahkan dalam Bahasa Perancis. Syeikh Muhammad Fuad mengukirkan senyuman dan mengucapkan terima kasih kepadanya, sudah pasti beliau tidak akan mensia-siakan waktu untuk melakukan kajian dan penyelidikan mengenai apa yang terkandung di dalamnya. Kami berjanji untuk memulangkan buku tersebut kembali pada hari Isnin selepas melakukan salinan.
​Syeikh Muhammad Fuad kemudiannya menunjukkan gambar logo bagi Institut al Imam Ahmad ibn Idris (SAIFI) Malaysia yang diasaskan bagi menjaga dan memelihara manhaj yang dibawa oleh pengasasnya. Di atas logo tersebut terdapat gambar naskah al Quran tulisan tangan milik Ahmad Idris. Lantas beliau melontarkan pertanyaan, "Bagaimana kamu memastikannya?" Kami membalas, ia diambil dari Zawiyyah Zainiyyah di Mesir. Beliau kemudiannya menjawab, "Benar, sudah pasti." Berdasarkan respon dirinya sendiri jelas menunjukkan keperibadiannya yang sangat teliti dan berhati-hati dalam meriwayatkan dan menerima apa-apa maklumat mengenai Ahmad ibn Idris. Bagaimana mungkin kita selaku ikhwan merasa cukup dengan keadaan kita sekarang, sedangkan ada orang di luar sana seperti beliau menunjukkan kasih sayang serta prihatin yang begitu mendalam sebegini terhadap Syeikh kita?

​Sebelum kami mengundur diri, Profesor O'Fahey sempat menulis perakuan yang berbunyi, "Sila beri kepada tokoh-tokoh ini akses penuh kepada segala hasil kerja saya." Penghormatan yang beliau tunjukkan terhadap Syeikh Muhammad Fuad tidak pernah beliau tunjukkan kepada selainnya. Beliau mengetahui keberadaannya di sana adalah kerana tujuan serta misi yang besar dan penting. "Kewujudan manuskrip-manuskrip ini di Bergen tidak mendatangkan banyak manfaat, ia perlu berada di tempat ia akan dimanfaatkan sebaiknya." "Terlalu sedikit apa yang telah saya usahakan ini, jika ada sesiapa yang berhasrat untuk meneruskan kajian mengenai Ahmad Idris, mereka perlu bermula dengan sumber-sumber yang berada dalam simpanan saya ini."
​Pertanyaan kami yang terakhir sebelum bertolak ialah berkenaan pandangan beliau mengenai al Sanusi, anak murid utama Sayyid Ahmad Idris dan ungkapan beliau secara peribadi mengenai Ahmad Idris. Dua perkara yang beliau tegaskan ialah, "al Sanusi ialah Ahmad Idris dan Ahmad Idris ialah al Sanusi" dan "Beliau (Sayyid Ahmad ibn Idris) tidak menghukum sesuatu perkara secara negatif atau stereotaip, akan tetapi sentiasa menjadikan ilmu pengetahuan sebagai sandaran utama dalam semua perkara."

​Tatkala kami meninggalkan bangunan ini menaiki teksi, berlatarbelakangkan hujan yang turun di Bergen, terbit dalam hati kami perasaan teruja dan terinspirasi sehingga melupakan kami dengan keadaan cuaca sekeliling. "Kita mesti dapatkan manuskrip-manuskrip tersebut!" ujar Syeikh Muhammad Fuad. Kami semua mengangguk tanda setuju. Itulah sememangnya yang akan kami lakukan.
Kredit to as sofa... Sesuci nya...
0 comments

Nuffnang